Kuching, 23 April – Seorang lelaki dari Kampung Bintawa Ulu, Petrajaya terbunuh dalam satu pergaduhan di hadapan bangunan Baitulmakmur malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Roslan Bek berkata Mohammad Syamsul Izwan Mohammad Suhaili, 24, ditemui dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah di atas konkrit.

“Pihak polis telah menerima maklumat berkaitan satu pergaduhan kira-kira 10.20 malam dan mangsa disahkan meninggalkan dunia oleh pihak hospital yang juga tiba di tempat kejadian dengan ambulans,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Roslan berkata kira-kira enam jam kemudian, empat orang suspek berusia antara 21 hingga 23 tahun telah ditangkap di kampung Bako dan Samariang Baru.

“Polis turut merampas barang kes seperti sebuah motosikal milik si mati, sebuah motosikal milik salah seorang daripada suspek, pakaian milik empat suspek dan serpihan topi keledar yang pecah.

“Serpihan topi keledar tersebut dipercayai senjata yang digunakan dalam pergaduhan berkenaan,” katanya.

Mangsa sudah berkahwin dan bekerja sendiri manakala keempat-empat suspek masih bujang.

Roslan berkata seorang lagi suspek sedang diburu dan dia dipercayai masih berada di Kuching.

Beliau berkata suspek dan mangsa dipercayai mengenali antara satu sama lain dan motif pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman bunuh. Kempat-empat suspek ditahan reman dan pihak polis sedang mengkumpul bukti untuk melakukan pendakwaan,” katanya.

Roslan juga berkata kes tidak mempunyai kaitan dengan kempen pilihan raya.- BERNAMA