Dalam satu temuramah ringkas, Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi UNIMAS, Dr Jeniri Amir menyatakan bahawa Hari Malaysia perlu diperhalusi generasi muda, dan bukan sahaja dijadikannya satu pengetahuan yang hanya digunakan untuk lulus peperiksaan.

Beliau yang ditemuramah dalam rancangan Analisis Awani menyatakan bahawa media massa harus membantu rakyat, khususnya golongan muda untuk memahami kepentingan Hari Malaysia.

Dr Jeniri turut menekankan bahawa Hari Malaysia tidak harus dipolitikkan oleh ahli politik kerana ia akan menyebabkan rakyat semakin berpecah belah dan ini menyukarkan perpaduan di antara Semenanjung Malaysia dengan penduduk di Sabah dan Sarawak.

Selain daripada itu, pensyarah yang berasal dari Sarawak itu juga menyatakan bahawa pengiktirafan Hari Malaysia adalah satu tanda bahawa kerajaan pusat, khususnya Perdana Menteri mengiktiraf kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa seharusnya Putrajaya harus lebih banyak mendengar masalah penduduk di Sabah dan Sarawak dan mengadakan lebih banyak lawatan ke negeri-negeri Borneo itu.