Hujan sememangnya gagal menghalang peminat setia Ungu yang telah hadir dalam jumlah ribuan demi untuk melihat secara dekat persembahan kumpulan dari Indonesia ini.

Sungguhpun hujan sedikit sebanyak telah menyebabkan ramai peminat yang hadir basah kuyup, kebanyakan mereka kekal berdiri menghadap pentas Anugerah Carta Borneo Era (ACBE) 2012 sambil menunggu saat Ungu diumumkan ke pentas.

Terdahulu, beberapa anugerah bagi menghargai kehebatan artis tempatan dari Borneo telah diumumkan dengan ‘Anugerah Lirik Paling Pergh’, ‘Susunan Muzik Paling Cun’, ‘Media Sosial Paling Kaw’, ‘Imej Artis Terbaik’ dan ‘Artist Borneo Paling Popular 2012’ menjadi rebutan.

Penyampaian anugerah diserikan dengan persembahan mantap dari artis-artis tempatan, yang juga merupakan finalis ACBE 2012.

Sekitar 1045PM, saat yang ditunggu ramai hadir apabila Ungu membuat kemunculan sulung di Bandaraya Kuching dengan mendendangkan tidak kurang 6 lagu bagi peminat yang sanggup berhujan menantikan kemunculan mereka.

Penantian tersebut sememangnya tidak merugikan kerana Ungu bukan sahaja membuktikan mereka sememangnya gah sebagai antara kumpulan terbaik dari Indonesia dan rantau Asia Tenggara, tetapi turut mengetengahkan bakat terpendam di kalangan penyampai ERAfm.

Untuk lebih banyak gambar ACBE, sila ke pautan ini.