Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan oleh portal akhbar Malaysia Digest telah memohon maaf atas kenyataannya yang membidas kerajaan berkenaan tuduhan bahawa kerajaan pusat bertanggungjawab mengedar buku latihan berlogo 1Malaysia bersama muka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sekolah-sekolah.

Ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin, pada pagi semalam menarik balik kenyataanya sebelum ini yang menyatakan Umno Barisan Nasional “terdesak” meraih sokongan mempergunakan pelajar sekolah demi meneruskan kesinambungan politik.

Beliau, yang lebih dikenali sebagai Chegubard, mengambil tanggungjawab penuh atas kesalahan beliau mengkritik kerajaan BN ke atas isu tersebut dan menyiarkan kenyataan maaf beliau di laman blognya, chegubard.blogspot.com.

Dalam artikelnya berjudul “Maaf atas kekeliruan yang tidak disengajakan”, beliau menegaskan bahawa kenyataan teresebut dikeluarkan secara peribadi, dan bukan sebagai ahli parti politik.