Utusan Borneo hari ini melaporkan bahawa seorang gadis berketurunan Cina, dipercayai kurang siuman tiba-tiba mengamuk di rumah keluarganya di Ulu Sungai Merah, Sibu malam Selasa lalu.

Kejadian itu berlaku pada jam 9.00 malam, apabila gadis tersebut mengambil sebilah pisau dan menghayun-hayunkannya di hadapan keluarganya, selain mengugut untuk mencederakan mereka yang mendekatinya.

Menurut akhbar berbahasa Melayu tersebut, tiada ahli keluarganya diapa-apakan tetapi mangsa terkena libasannya sendiri di pergelangan tangan kirinya semasa dia mengamuk menyebabkan darahnya berpercikan di atas lantai.

Polis yang dihubungi ahli keluarganya tiba sekitar sejam selepas itu sebelum mereka berjaya mententeramkan gadis tersebut.

Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh Rescue 991 daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Gadis tersebut dihantar pulang ke rumah selepas keadaannya kembali normal selepas menerima rawatan.