Dollah Salleh jurulatih baru Harimau Malaya

0
923

Dollah Salleh dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan bola sepak negara.

Keputusan melantik bekas pemain antarabangsa ini sebagai jurulatih kebangsaan akan diumumkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Wisma FAM pada Sabtu.

Dollah,51, bersara dari pasukan kebangsaan pada tahun 1998. Beliau kini merupakan ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab membawa pasukan itu ke aksi Liga Super musim depan.

Tahun lalu, beliau membimbing pasukan Pahang sehingga bergelar juara Piala Malaysia.

Pencapaian terbaik sebagai jurulatih adalah pada tahun 2005 ketika membawa pasukan Selangor bergelar juara treble – Liga Perdana, Piala FA, dan Piala Malaysia.

Dollah dikenali sebagai jurulatih yang mempunyai sentuhan Midas (emas).

Beliau telah membimbing empat pasukan dalam Liga Perdana untuk berada di kedudukan teratas iaitu MPPJ FC (2004), Selangor (2005), Pahang (2012) dan PDRM (2014) mara ke Liga Super.

Sementara itu, badan induk bola sepak tanah air ini telah mula mencari jurulatih kebangsaan sejak Januari lalu berikutan kontrak Datuk K.Rajagobal tidak sambung yang berakhir 31 Disember 2013.

FAM sebelum ini berminat untuk melantik jurulatih Perancis, Philippe Troussier namun perbincangan kedua-dua pihak tidak berjalan lancar.

Manakala jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee yang menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan akan meneruskan persiapan skuad Bawah 23 Tahun menjelang Sukan Asia di Incheon September ini.

Dollah dilantik serta merta bagi menguruskan skuad kebangsaan dalam persiapan mengharungi kempen Piala Suzuki AFF yang dihoskan oleh Singapura dan Vietnam Disember ini.

Sumber: mStar