Chong Wei juara terbuka Jepun 2013

0
626

Pemain Jepun, Kenichi Tago nyata bukan saingan pemain badminton nombor satu dunia, Dato’ Lee Chong Wei, apabila tunduk di perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2013. Chong Wei mudah menewaskan pemain tuan rumah itu dengan straight set 23-21, 21-17 dalam masa 55 minit.

Dalam rekod 13 pertemuan, Tago masih belum mampu menewaskan Chong Wei. Kali terakhir kedua-dua mereka beraksi di pentas akhir ialah di Terbuka India pada April lalu yang menyaksikan Tago tumpas selepas bertarung dalam tiga set.

Laluan Chong Wei ke pusingan akhir dilihat mudah apabila memenangi kesemua perlawanan menerusi straight set di mana kesemuanya diselesaikan dalam masa kurang dari satu jam.

Kemenangan ini merupakan kejayaan kali keempat Chong Wei meraih gelaran juara di Terbuka Jepun iaitu pada 2007, 2010 dan 2012.

Chong Wei pada Sabtu melalui laluan paling mudah di dalam kejohanan apabila menumpaskan pemain pilihan kelima kejohanan dari Vietnam, Nguyen Tien Minh dalam masa 29 minit dengan keputusan 21-10, 21-5.

Kesemua pemain Malaysia yang lain tidak berjaya melepasi pusingan kedua kejohanan yang menawarkan hadiah kemenangan berjumlah USD200,000 atau RM646,754.

//Astro Awani