Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Selasa mengumumkan 15 Nov lalu sebagai tarikh penguatkuasaan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709), diperkenalkan khusus bagi mencegah penyalahgunaan data peribadi orang awam untuk tujuan komersial.

Selaras dengan penguatkuasaan akta itu, semua pihak yang dikategorikan sebagai pengguna data di bawah Perintah Golongan Pengguna Data kini diberi tempoh sehingga 15 Feb tahun depan untuk mendaftar dengan Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia (JPDPM).

Di bawah undang-undang tersebut, adalah menjadi kesalahan bagi mereka mendedahkan data peribadi kepada pihak ketiga tanpa persetujuan pemilik.

Akta tersebut telah dibuat bagi menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan serta keutuhan rangkaian dalam perlindungan data di Malaysia.

JPDPM dalam siaran medianya mentakrifkan pengguna data sebagai pihak yang memproses apa-apa data peribadi atau mempunyai kawalan terhadap data berkenaan, atau membenarkan pemprosesan apa-apa data peribadi.

Ia turut menyenaraikan pelbagai kesalahan dan penalti di bawah akta berkenaan, termasuk hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun bagi kesalahan memproses data peribadi tanpa perakuan pendaftaran atau selepas pendaftaran dibatalkan, serta denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan tidak mematuhi notis penguatkuasaan atau kehendak Pesuruhjaya.