Anugerah Carta Borneo ERA (ACBE) tahun ini bakal menampilkan artis dan band indie tempatan Sarawak, disamping kembali menggegarkan peminat muzik tempatan dengan suatu kelainan yang lebih hebat berbanding tahun lepas.

Bertemakan “Inspirasi Borneo”, ACBE tahun ini akan diadakan di Kuching Integrated Recreational Centre (KIRC) pada 1 Disember 2012.

ERA fm Kuching telah menyaksikan perkembangan memberangsangkan bakat tempatan dan ini dapat dilihat dengan barisan senarai pencalonan artis dan band pada tahun ini.

Kali ini, ACBE menampilkan senarai 41 pencalonan yang terdiri daripada artis dan band tempatan, berbanding tahun lepas, yang membariskan hanya 25 pencalonan. Kehebatan ACBE terletak pada lima kategori anugerah yang bakal dipertandingkan.

Lima kategori yang dipertandingkan adalah;

1) “Anugerah Lirik Paling Perghh!”
2) “Susunan Muzik Paling Cun”
3) “Media Sosial Paling Kaw”
4) “Imej Artis Terbaik”
5) “Artis Borneo Paling Popular 2012 Xpax”

Turut bakal menyerikan ACBE tahun ini adalah artis misteri yang berstatus antarabangsa, dan telah menjual jutaan album di seluruh dunia.

Pas-pas percuma XZONE boleh didapati mulai minggu depan dalam Muzik ERAthon, Petang ERA dan juga dari setiap lintasan Skuad ERA Perodua. Undian untuk Artis Borneo Paling Popular 2012 XPAX juga bermula minggu depan.